APA ADA PADA RAYA?
Jo Haq
31 Mac 2025
RAYA, setiap tahun cerita yang sama. Cerita yang sama? Tidak semestinya. Cerita yang sama itulah penyeri hidup. Mengingatkan kita yang sememangnya kitaran hidup, walaupun sering kali serupa dan tidak berubah, merakamkan perjalanan hidup dan melambangkan nikmat hidup pemberian Tuhan.
Bagi aku, setiap pagi Raya, menggelabah tidak tentu hala. Membangunkan anak-anak yang sering lembab untuk mandi dan memakai baju Raya terutamanya samping Baju Melayu yang tidak pernah sempurna ikatnya. Perut boroi ataupun kempis, sama sahaja kesukarannya. Tahu-tahu, jam di dinding sudah 8:25 pagi. Maka berlarilah kita ke masjid sedang imam mengangkat takbir pertama yang disusuli lagi enam untuk rakaat pertama.
Pagi Raya itu jugalah kita mengorek laci mencari saki-baki sampul Raya yang pelbagai rupa kebanyakannya dari bank-bank. Nasib baiklah sempat seminggu lalu menukar wang kertas kecil yang kini ekspektasi kita sudah menjangkau RM10 dan bukan lagi RM1 seperti di tahun 80'an dahulu.
Selesai sahaja sembahyang Raya, sebelum sampingnya tidak terurus dan selekeh, Cepat! Cepat! 'snap' foto Raya dengan anak-anak di laman rumah. Ada pula anak yang dah campak songkok entah ke mana. Ada pula yang memakai selipar jepun jamban walaupun kita membeli capal yang elok-elok belaka. Yang menyakitkan jiwa, mata 'sekor-sekor' tertutup bila fotonya siap. Nasib baik bukan lagi zaman filem Kodak 100. Bolehlah jugak 'snap' foto berulang kali dan memilih yang mana untuk di'delete'kan.
Di pagi Raya, tiada gunanya ke pusara keluarga kerana trafiknya memanaskan jiwa. Elok juga seminggu lalu menziarah mereka yang sudah tiada. Semoga mereka sejahtera di sana. Di Hari Raya inilah kita mengenangkan mereka dan menitiskan air mata kasih. Di Hari Raya inilah kita merumus apa lagi yang kita mahu selesaikan di hidup ini sebelum nanti orang lain menziarah kita yang sudah tentu akan tertanah enam kaki ke bawah.
Hari Raya disinonimkan dengan rendang, lemang dan Nasi Tomato Mak yang tiada bandingannya. Walaupun doktor sudah bilang, "Bacaan gula ni dah tinggi ni dalam darah", tetap kita ingkar kerana... kerana hanya satu hari di Hari Raya sahaja di dalam tiga ratus enam puluh lima hari, kita melupakan laporan kerja, sengketa sesama sendiri ataupun saman-saman di mahkamah.
Di waktu tengahari, setelah selesai sesi fotografi keluarga, berbunyilah loceng pintu dengan kunjungan sanak-saudara yang mungkin setakat ini, samping-samping mereka pun sudah separuh kelonggaran akibat rekaan ikatan samping yang tidak kemas. Berboraklah kita terbahak-bahak menceritakan zaman dahulu-kala. Sementara itu, anak-anak muda yang anti-sosial sudah mula melayan Instagram, TikTok dan macam-macam lagi aplikasi ciptaan Dajjal.
Apabila selesai makan, berborak, berfotografi, bertukar sampul Raya dan bermaaf-maafan, keletihanlah kita dengan adegan-adegan yang sama berulang kali setiap 1 Syawal setiap tahun. Di dalam 'monotoni' corak perayaan ini, walaupun tiada sangat bezanya dari tahun-tahun yang lalu, kita menyedari yang anak-anak semakin tinggi. Ibubapa semakin tua. Ada yang masih hidup untuk bersalaman. Ada yang sudah mati untuk diingati. Maka itulah nikmatnya Raya, sebagai peringatan yang sememangnya hidup ini suatu pemberian Illahi dan haruslah kita hargai keamanannya berbandingkan mereka yang masih senyum dan riang di celah-celah batu-batu bangunan runtuh di Gaza.
Dengan tulus ikhlas dan kesyukuran, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin.
~~~~~~~~~~