Oleh Jo Haq dan Merah Rahman
KOOKABURRA itu bisu. Bukan seperti yang kita jangkakan. Ia terbang ke semua pelusuk dengan gundah gulana, kerna keseorangan. Tidak ada teman untuk ia berbicara. Hidup sepi itu menusuk hatinya, sehinggakan mimpi dinanti-nanti. Di dalam mimpi ia bersuara. Di dalam mimpi ia bersajak, meluahkan apa di minda. Kookaburra sering menjelajah. Dengarnya ada Shaman yang ariff. Sudah sekian lama ia mencari. Ingin bertanya, ia bisu. Apakan daya. Suatu hari bertenggek ia di ranting rapuh di pinggir tasik. Hibanya menitiskan air mata yang mengalir di pipi dan jatuh ke bawah menggelombangkan air tasik. Maka terbangunlah Shaman Purba Tasik Sakti. Shaman berkata, "Tangismu itu Beta rasa keperihannya. Tuan Hamba rela bersuara dengan syarat suatu pengorbanan? Takdirmu usia seribu tahun bermukjizatkan kuasa memerintah haiwan dengan minda. Tuan Hamba mahu korban itu demi lidah yang bersuara? Kerna dengan itu usiamu akan Beta singkatkan." Kookaburra menggangguk. Maka bersinarlah cahaya darinya meninggalkan jasad menuju ke Shaman seolah-olah diparutnya hayat yang dirompak Shaman. Shaman kini kelihatan muda. Kookaburra jatuh terkulai tertidur lemah longlai. Apabila mentari terbit, Kookaburra dikejutkan haba. Apabila ia bangun untuk meneguk air di tasik, Kookaburra terkejut melihat bayang wajah seekor Kookaburra betina bertenggek di atas ranting di belakang. Ia gembira sehinggakan terkeluar ketawa dari lidahnya. Kookaburra betina juga turut ketawa. Mereka saling tertawa seolah-olah berdebat sesungguhnya. Pasangan itu terus hidup berdua dengan ketawa mereka kedengaran di seluruh alam yang cuma mereka kecapi di jangka hayat yang pendek, tetapi gembira.
0 comments