PERWIRA NAGA DAN HANTU PUNTIANAK

Saturday, November 9, 2019 at 1:25 AM
Oleh Jo Haq
spanapurba.blogspot.com















Selepas subuh aku turun ke padang. Di waktu ini puntianak-puntianak semua tidak berani menerpa askar-askar aku. Perwira-perwira aku. Perwira yang bertunggangkan naga-naga sakti dari dunia bunian purba. Kenapa? Kerana cahaya matahari sudah cukup untuk membakar kulit puntianak-puntianak durjana itu semua.

Sudah bertahun-tahun kampung-kampung di Kalimantan ini dibelenggu hantu puntianak. Banyak yang telah terkorban. Ada juga orang-orang kampung ini yang tiada jalan lain melainkan memuja hantu ini dan memberi korban anak-anak muda yang darahnya masih lemak dan manis.

Aku tidak rela. Aku harus hancurkan puntianak durjana ini semua. "Ayuh! Tenteraku! Terbanglah engkau bersama naga-nagamu. Hari ini, kita berperang untuk maruah kita. Kita ke sarang puntianak!!"

300 orang tentera aku itu seorang demi seorang menadah tangan berdoa dan untuk setiap mereka, cahaya dari tadahan tangan keluar memancar ke langit menjelma menjadi naga yang bercahaya. Tentera-tenteraku menunggang naga berpusing-pusing menunggu ketua mereka untuk memulakan perjalanan.

Aku menadah tangan sambil berdoa, "Dengan amanah yang diturunkan kepada aku, aku, keturunan Perwira Naga, bersumpah untuk menunaikan janji nenek moyangku untuk menjaga umat manusia dari dibelenggu kaum penghisap darah.  Wahai naga saktiku, jelmalah engkau.... "

Cahaya putih terpancar keluar dari tanganku memancar ke langit menjelma menjadi Penghulu Naga Sakti yang bercahaya. "Tuan Penghulu Perwira Naga, Tuan Hamba Penghulu Naga Sakti Bunian Purba sedia berkhidmat untuk Tuan."

Aku cuma tersenyum dan berkata, "Hari ini kita saling bekerja lagi untuk janji purba sesama kita", sambil melompat ke atas Penghulu Naga Sakti. "Wahai Sang Berapi Yang Purba, penghulu segala naga sakti, ayuh berikan isyarat kepada kesemua naga-nagamu untuk minggir ke hutan puntianak. Askar-askarku akan berjuang bersama naga-nagamu."

Sang Berapi Yang Purba mengeluarkan bunyi perit yang amat kuat dari mulutnya lalu menerpa ke langit yang kini sudah kebiruan menuju ke arah kegelapan yang bertentangan dengan matahari terbit, yakni, ke arah hutang puntianak. Kesemua 300 naga dengan tunggangan oleh askar perwira nagaku sama-sama terbang mengikut aku, penghulu mereka, dan Penghulu Naga Sakti.

Bermulalah peperangan yang melibatkan askar-askar aku mengheret kaum puntianak keluar dari gua-gua di hutan untuk naga-naga purba membakar puntianak-puntianak ini sehingga hancur menjadi debu. Setiap tahun tentera-tenteraku bersama naga-naga sakti berbakti membunuh hantu-hantu ini tetapi setiap tahun masih banyak lagi hantu-hantu ini menjelma. Mungkin ada lagi gua-gua yang belum kami jumpai ataupun puntianak ini semua sudah jumpa tempat persembunyian yang lebih efektif.

Apa-apa hal, peperangan ini amat memedihkan kerana ianya harus dilakukan dengan api dari naga purba yang sezaman dengan darah keturunan puntinanak ini. Dengan tidak dapat dielakkan, api naga yang teramat panas ini sudah tentu membakar sekali hutan-hutan di mana puntianak-puntianak ini semua dibakar.

Keesokan harinya surat khabar mengeluarkan headline "MUSIM JEREBU BERMULA LAGI".

0 comments

Post a Comment

BUANASENI | Entries (RSS) | Comments (RSS) | Designed by MB Web Design | XML Coded By Cahayabiru.com | Distributed by Deluxe Templates