SANG PENDITA MAHAKARYA TOK GURU AGOK PENJAGA SUCI GUNUNG LEDANG

Wednesday, November 6, 2019 at 9:17 AM
Oleh Jo Haq
spanapurba.blogspot.com


Sudah 27 hari Zaki camping dan mendaki Gunung Ledang. Dia berpusing-pusing keliling gunung kononnya hendak mencari erti kehidupan. Diredahnya belukar. Diseberangnya tujuh sungai. Dikacau hantu jembalang syaitan jin pelbagai. Berbekalkan biskut Marie dan air mineral Spritzer sahaja. Air dari dedaunan pokok jati hutan menjadi sumber untuk membersihkan muka. Dia tidak mandi. Badannya bau hapak tidak seperti kambing Boa. Giginya tidak tergosok. Janggutnya tidak tercukur sehingga rupanya pun dah macam beruk. Tapi Zaki tidak endah kesusahan itu semua. Dia sudah bertekad untuk mencari jawapan. Mencari jawapan mengenai rahsia yang terbesar yang akan memberi makna kepada kehidupan Zaki. Rahsia yang selama ini dia mencari. Mencari dari seorang pendita yang menghuni Gunung Ledang. Orang kata kalau nak cari pendita ni kena sabar. Apabila kita sudah sabar secukupnya barulah pendita itu akan muncul.

Zaki masih sabar. Dia berbisik seorang diri di tengah-tengah hutan belukar Gunung Ledang, "Wahai Sang Pendita Mahakarya Tok Guru Agok Penjaga Suci Gunung Ledang. Dimanakah dikau?"

"Oi! Pundek! Aku kat sini hah! atas pokok asam jawa ni. Apa yang ko membebel sorang-sorang dalam hutan? Dah 27 hari aku tengok kau menilau macam anak babi hilang maknya. Baru hari ini ko nak tanya dimana aku? Kalau kau tanya hari pertama dulu kan aku boleh sahut terus. Bodoh!"

Zaki bersabar. Dia tahu yang Pendita Agok cuma mahu cuba try test tengok kecekalan dirinya dengan maki hamun itu tadi, "Wahai Sang Pendita Mahakarya Tok Guru Agok Penjaga Suci Gunung Ledang. Apakah rahsia alam yang perlu aku amalkan agar dapat aku bahagia di dunia ini?"

"Senang saja jawapannya. Kau mari sini aku nak bisik."

Zaki pun memanjat pokok asam jawa sehingga sampai ke Pendita Agok lalu dia pun duduk di atas ranting besar sebelah Pendita Agok sambil menepis-nepis kerengga yang menggigit-gigit tangannya, "Ya Sang Pendita Mahakarya Tok Guru Agok Penjaga Suci Gunung Ledang, apakah jawapannya anak ini tumpang bertanya?"

Pendita Agok pun menunduk sehingga bibirnya sampai ke telinga Zaki lalu dengan nada halus lagi suci dan lembut dia membisik, "Yooooossssofffff Taaaayyyyooooobbbbb....... "


0 comments

Post a Comment

BUANASENI | Entries (RSS) | Comments (RSS) | Designed by MB Web Design | XML Coded By Cahayabiru.com | Distributed by Deluxe Templates